Wanita Melayu DAP cuba tembusi kubu UMNO

JOHOR BAHRU 30 Okt. – DAP terus cuba menembusi kubu UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan meletakkan calon Melayu, seorang wanita muka baharu Fatin Zulaikha Zaidi, 29 yang akan bertanding di kawasan Parlimen Mersing.

Setiausaha Agung Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook ketika mengumumkan demikian berkata, Fatin adalah wanita Melayu ketiga dicalonkan selepas Young Syefura Othman atau Rara (Bentong) dan Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera).

“Syabas atas keberanian Fatin untuk bertanding di kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan UMNO,” katanya ketika mengumumkan calon DAP bertanding di Johor, serentak Majlis Malam Penghargaan Veteran DAP, Lim Kit Siang.

Fatin Zulaikha adalah pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung.

DAP akan bertanding tujuh kerusi Parlimen di Johor yang membabitkan empat lelaki dan tiga wanita, di mana dua adalah calon Melayu.

Seorang lagi calon Melayu yang diumumkan Khamis lalu adalah Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, yang juga bekas ADUN Paloh dan bekas EXCO Johor, yang akan bertanding di Parlimen Ayer Hitam.

Loke juga mengumumkan malam ini pencalonan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang akan bertanding di kerusi Parlimen Iskandar Puteri bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas Pengerusi DAP Lim Kit Siang.

Chin Tong yang tewas di Parlimen Ayer Hitam pada PRU lalu dilantik sebagai Senator dan menjawat jawatan Timbalan Menteri Pertahanan semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH). Beliau kini adalah ADUN Perling.

DAP juga mengekalkan pencalonan bekas Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching yang akan mempertahankan kerusi Kulai manakala Wong Shu Qi  akan mempertahankan Parlimen Kluang.

Dua lagi calon yang diumumkan minggu lalu adalah bekas ADUN Skudai yang akan bertanding di Parlimen Bakri, manakala penyandang Parlimen Labis, Pang Hok Liong, diumumkan mempertahankan kerusi itu.

Related posts

Leave a Comment