PRU15 : Amanah gugur empat penyandang

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Amanah menggugurkan empat penyandang kerusi Parlimen penggal yang lalu dan mengekalkan pimpinan utama parti diketuai Presidennya, Mohamad Sabu yang akan mempertahankan kerusi Kota Raja.

Timbalannya Salehuddin Ayub kekal di kerusi Parlimen Pulai, Naib-naib Presiden, Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Mujahid Yusof (Parit Buntar); Setiausaha Agung, Hatta Ramli (Lumut), dan Pengarah Komunikasi, Khalid Samad berpindah ke Parlimen Titiwangsa.

Bagaimanapun seorang lagi Naib Presiden, Hasanuddin Mohd Yunos (Hulu Langat) digugurkan bersama tiga lagi penyandang iaitu Hanipa Maidin (Sepang), Mohd Anuar Tahir (Temerloh) dan Dr Hasan Bahrom (Tampin).

Mereka yang dicalonkan bagi mengisi empat kerusi berkenaan adalah Raj Muni Aiman Athirah (Sepang), Mohd Hasbie Muda (Temerloh), Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat) dan Muhammad Faiz Fadzil (Tampin).

Kerusi Parlimen Shah Alam yang disandang Khalid sejak 2008, akan ditandingi oleh Azli Yusof sementara bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad pula kekal dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor.

Mohamad pada sidang media pengumuman calon itu berkata, jumlah kerusi Parlimen diperuntukkan kepada Amanah meningkat kepada 54 orang berbanding 35 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Kita sudah menyelesaikan soal calon yang akan bertanding mewakili PH dari kuota Amanah bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengguguran empat penyandang kerusi Parlimen daripada parti itu, Salahuddin menjelaskan ia adalah untuk memberi laluan kepada muka baharu.

“Itu proses yang kita jalankan melalui Jawatankuasa Penilaian dan Pemilihan Parti, maka ada yang tidak bertanding lagi untuk memberikan laluan kepada muka baharu yang kita rasakan penting untuk diberikan peluang pada kali ini,” katanya.

Khalid pada sidang media sama berkata, pengguguran penyandang terbabit tidak menggambarkan mereka tidak berprestasi dengan baik, selain menolak dakwaan pengguguran penyandang tertentu kerana masalah kesihatan.

“Ia hanya satu proses peralihan dan pertukaran yang kita nak galakkan berlaku dalam Amanah di mana kita menginginkan muka baharu diberikan peluang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment