PSM batal kerjasama dengan PH

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Selepas permintaan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput ditolak, Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengambil ketetapan membatalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi PSM, S. Arutchelvan berkata dalam dua mesyuarat bersama  PH, PSM meminta supaya Pengerusi parti Dr Michael Jeyakumar Devaraj, yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Siput dibenarkan bertanding di kerusi tersebut.

“Memandangkan satu kerusi pun tidak diberikan, kami faham bahawa PH tidak berhajat untuk menjalin pakatan pilihan raya dengan PSM.

“Kami kesal kerana perkara ini lewat dimaklumkan meskipun Rafizi Ramli (Timbalan Presiden PKR) pada Jumaat menyatakan bahawa beberapa kerusi diperuntuk kepada PSM dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arutchelvan berkata PSM juga mengemukakan dua lagi kerusi Parlimen untuk ditandingi parti itu yang bukan disandang oleh Barisan Nasional (BN) jika Sungai Siput tidak diberikan sebagai senario terburuk dan meminta tiga kerusi Dewan Undangan Negeri yang bukan disandang oleh BN.

Beliau berkata PSM telah dimaklumkan melalui sepucuk surat rasmi bertarikh hari ini bahawa permintaan PSM untuk mengadakan pakatan pilihan raya dengan PH telah ditolak sama sekali.

Katanya PSM akan mengadakan mesyuarat tergempat Jawatankuasa Pusat parti itu hari ini serta Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan esok bagi memutuskan sama ada ia akan bertanding atau tidak pada PRU15.

Dr Jeyakumar pernah menewaskan tokoh terkemuka MIC mendiang Tun S. Samy Vellu di kerusi Parlimen Sungai Siput atas tiket PKR pada 2008 dan mempertahankannya pada 2013.

Related posts

Leave a Comment