Nik Omar Nik Aziz tanding wakili PKR

PETALING JAYA 26 Okt.-  Bekas Naib Canselor dan anak kepada bekas Mursyidul Am Pas adalah antara tujuh calon daripada kalangan profesional, agamawan dan orang muda mewakili PKR bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang mengumumkan demikian hari ini berkata, bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA)  Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan akan bertanding atas tiket PH di Pahang.

Katanya, bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nik Omar Nik Aziz akan mewakili PH untuk salah sebuah kerusi Parlimen di Perak.

“Al-Fadil Ustaz Nik Omar merupakan tokoh yang sangat dihormati, dari keluarga yang ulama yang sangat dihormati, dalam zaman ini ramai yang tak boleh menyaingi kasih rakyat seperti Nik Aziz,” katanya yang menyifatkan Nik Omar seorang ilmuwan agama dan pendakwah disegani.

Turut dicalonkan adalah bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Zainal Azman Abu Seman, yang akan bertanding di Perak manakala Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) yang juga tokoh profesional kelainan upaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz akan bertanding di Wilayah Persekutuan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop akan bertanding di Selangor, bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha akan bertanding di Negeri Sembilan dan calon muda berusia 28 tahun yang juga doktor falsafah di Universiti Malaya, Fathin Amelina Fazlie akan bertanding di Perlis.

Anwar berkata, kawasan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi calon diumum hari ini akan diumumkan pada Jumaat ini.

Sementara itu, Nik Omar ketika ditanya mengenai status keahliannya dalam Amanah berkata : Pepatah Arab ada menyebut, semua jalan menuju ke Mekah, jadi ada yang jalan darat, ada yang jalan jauh, ada ke udara. Yang penting kita dalam satu PH, keberadaan ambo (saya) di sini untuk menunjukkan komitmen, tentang konsisten kita untuk bawa kerajaan yang berpaksi kepada keadilan,”.

Anwar berkata, beliau telah menyampaikan pandangan tentang Nik Omar bertanding di bawah PH, namun enggan mengulas lanjut.

“(Status keahlian Nik Omar) belum berbangkit, sebab kita telah menyampaikan pandangan kepada Amanah, (yang penting) kita bertanding bawah PH,” katanya lagi.

+Foto Nik Omar dan Dr Hassan (kanan)

Related posts

Leave a Comment