BN hanya tunggu tarikh PRU15

MASJID TANAH 28 Ogos – Barisan Nasional (BN) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan hanya menunggu tarikh yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)m kata Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata sementara menunggu tarikh berkenaan, BN Melaka menyusun strategi kempen dan jentera pilihan raya bagi memastikan kemenangan calon BN.

“Pilihan raya…semua sudah siap, kita tunggu SPR umumkan tarikh,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Karnival Islam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Masjid al Muhtadi, Kampung Ramuan Cina Besar, di sini, hari ini.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam merasmikan program itu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Program dua hari yang bermula semalam itu diserikan dengan pelbagai program, antaranya acara marhaban, tilawah al-Quran, pertandingan bercerita kisah Nabi untuk kanak-kanak dan pertandingan khat.

Pada pertemuan khas Presiden UMNO dengan ketua bahagian parti seluruh negara, Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan memberi isyarat supaya kerajaan segera membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU-15.

PRU-15 di Melaka hanya membabitkan pertandingan di enam kerusi Parlimen berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah diadakan pada November tahun lalu.

Ia membabitkan Parlimen Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Kota Melaka dan Jasin.

Pada PRU-14, BN menang di Parlimen Masjid Tanah dan Jasin, manakala Parlimen Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka dikuasai Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Parlimen Masjid Tanah yang dimenangi Mas Ermieyati Samsudin sekarang dikuasai Perikatan Nasional (PN) berikutan langkah beliau keluar UMNO pada 1 Julai 2018, dua bulan selepas PRU-14 dan menyertai Bersatu pada pertengahan Disember tahun yang sama.

Satu lagi kerusi dimenangi BN ialah Jasin, yang diwakili P Ahmad Hamzah.

Kerusi Parlimen Alor Gajah yang dimenangi Mohd Redzuan Md Yusof daripada Bersatu sekarang dimiliki oleh PN berikutan tindakan Bersatu keluar daripada PH.

Kerusi Tangga Batu diwakili Rusnah Aluai (PH-PKR), manakala Hang Tuah Jaya diwakili  Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-PKR) dan Kota Melaka diwakili Khoo Poay Tiong (PH-DAP).

Related posts

Leave a Comment