“Selagi ada hayat saya tidak akan bisu”

PUTRAJAYA 26 Okt. – Bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, akan terus bersuara mengenai salah laku Kerajaan selagi ada hayat walaupun ada usaha supaya beliau menutup mulut.

“Mereka boleh cuba, tapi saya mahu ingatkan mereka bahawa selagi ada hayat, saya tidak akan bisu, buta atau tuli apabila melihat kemungkaran yang mereka lakukan,” katanya.

Merujuk kes siasatan yang dibuat berhubung buku yang ditulis oleh bekas Peguam Negara Tommy Thomas, beliau tiada halangan jika pihak kerajaan mahu mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak.

“Jika dirasa ada asas terhadap tuduhan yang dibuat terhadapnya ataupun sesiapa sahaja termasuk saya, undang-undang ada untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun amat pelik kenapa sehingga kini tidak ada sebarang siasatan atau tindakan diambil terhadap Apandi Ali yang jelas melakukan pelbagai kesalahan semasa menjadi Peguam Negara sebelum Thomas.

Menurut Dr. Mahathir kesalahan Apandi melepas Najib Razak dari sebarang tindakan undang-undang juga jelas menunjuk Apandi terbabit di dalam menutup skandal 1MDB.

“Bagaimana boleh Apandi sebagai seorang Peguam Negara dengan mudah melepas Najib sedangkan sembilan hakim – bermula dengan seorang hakim mahkamah tinggi, tiga hakim mahkamah rayuan dan lima hakim mahkamah persekutuan – kesemuanya mendapati Najib bersalah,” katanya.

Dr. Mahathir juga merujuk kesimpulan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi  Azimah Omar, pada 23 Mei 2022, di dalam penghakiman bertulisnya, sebanyak 100 muka surat, yang menolak saman fitnah Apandi terhadap Lim Kit Siang.

“Kesimpulan bahawa Apandi, antara lain adalah seorang penipu; Gagal melaksana tugas sebagai Peguam Negara; Ada asas untuk disiasat kerana disyaki bersubahat dan melindung jenayah 1MDB; Mempersoal sikap dan tindakan Apandi yang bersungguh-sungguh menutup skandal 1MDB dan menyucikan Najib

“Apandi juga menolak bantuan undang-undang bersama dari pihak berkuasa Switzerland dan juga Department of Justice Amerika Syarikat sedangkan dia sedar bantuan mereka perlu untuk siasatan 1MDB.

“Azimah turut menyatakan “rasa meluat mahkamah terhadap betapa kejinya kenyataan Apandi yang bercanggah, mengelak dan melakukan penipuan yang jelas.”  kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir turut mempersoalkan , tiada sebarang tindakan diambil berikutan banyak laporan polis telah dibuat terhadap Apandi berhubung kenyataan Azimah.

Sebaliknya Apandi diberi pampasan jutaan ringgit kerana Kerajaan terdahulu telah menamatkan perkhidmatannya disebabkan dia gagal menjalankan tugasnya di samping dilantik mengetuai jawatankuasa siasatan tuntutan Pulau Batu Puteh.

“Saya sebenarnya sudah menduga, setiap kali saya bersuara mengenai salah-laku Kerajaan akan ditimbul perkara-perkara sebegini untuk menutup mulut saya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment