GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kelonggaran sekatan memerangi wabak Covid-19 kemungkinan dikuatkuasakan semula sekiranya negara terbabit tidak menguruskan peralihan dengan berhati-hati.
Ketua Pengarahnya Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus ketika mengingatkan demikian turut mengulangi enam kriteria yang disarankan sebelum ini ketika mengambil langkah untuk melonggarkan sekatan.
Ini termasuk pemantauan ketat dan persediaan sistem kesihatan yang kukuh, menguruskan kes import, mengamalkan norma baharu kehidupan serta pencegahan di tempat kerja, sekolah dan tempat tumpuan.
“Risiko untuk kembali menguatkuasakan sekatan adalah situasi sebenar, sekiranya negara tidak menguruskan tempoh peralihan dengan berhati-hati dan dengan pendekatan berperingkat,” katanya pada taklimat media pada 6 Mei.
Beliau berkata pandemik ini telah mencetuskan kepentingan sistem kesihatan yang baik pada asas keselamatan kesihatan global dan perlindungan kesihatan universal.
“Sistem kesihatan yang kukuh dan berdaya tahan adalah pertahanan yang terbaik, bukan hanya ketika berdepan pandemik ini tetapi juga ancaman kesihatan lain yang dihadapi di seluruh dunia ketika ini,” kata Dr Tedros.
Beliau juga menegaskan adalah mustahil untuk kembali menjalani kehidupan normal.
Sebaliknya, beliau menyarankan semua penduduk bersikap lebih waspada ketika ancaman pandemik masih wujud.