Rara ke Parlimen, Zulpuri pindah ke Lipis

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pahang diberi tangggungjawab untuk bertanding di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk Young Syefura Othman di kawasan Bentong.

Young Syefura atau turut dikenali sebagai Rara, sebelum ini mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari.

Beliau dijangka berdepan saingan sengit daripada bekas Presiden MCA, Liow Tiong Lai yang dikatakan mahu merebut semula kerusi panas tersebut selepas tewas kepada bekas Ahli Parlimen Bentong Wong Tack pada 2018.

Pada PRU14, Tiong Lai hanya meraih 23,684 undi tewas kepada penyandang kerusi itu dari DAP, Wong Tack dengan majoriti 2,032 undi.

Bekas ADUN Tras Chow Yu Hui akan bertanding di Parlimen Raub yang sebelum ini diwakili Tengku Zulpuri Shah Raja Puji manakala bekas ADUN Tanah Rata Chiong Yoke Kong ke Cameron Highlands.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, ketika mengumumkan nama-nama itu juga menjelaskan Tengku Zulpuri akan berpindah ke kawasan Lipis manakala Wong Tack menolak untuk dicalonkan ke kawasan Cameron Highlands.

“Kita berbincang dengan beliau (Wong Tack) dan beri cadangan untuk beliau bertanding di Cameron Highlands tetapi beliau tidak bersetuju dan menolak cadangan itu,” katanya.

Menurut Loke, beliau berbincang dengan Wong Tack hampir tiga jam pada Ahad lalu untuk meyakinkan beliau mengapa keputusan itu dibuat dan kenapa paling baik untuk beliau berpindah Cameron Highlands.

Ditanya kenapa Rara dipertaruhkan di kawasan Parlimen, beliau menjelaskan DAP mahu Rara menjadi wanita Melayu DAP pertama sebagai ahli Parlimen dan parti yakin dengan rekod perkhidmatan yang telah diberikan di DUN Ketari sebelum ini.

Menurut Loke terdapat satu kerusi tambahan yang dipertaruhkan bagi Parlimen di Pahang berbanding PRU14.

Mengikut rekod, DAP kali terakhir meletak calon di kawasan Lipis pada PRU7 (1986) di mana calonnya Woo Chee Wan memperoleh 3,773 undi manakala calon BN , Wang Choon Wing memperoleh 13,533 undi.

Pada PRU lalu, calon BN, Abdul Rahman Mohamad memperoleh 13,995, menang dengan majoriti 6,569 undi mengalahkan calon PKR dan Pas.

Loke menjelaskan, langkah ini merupakan strategi penting yang dipertimbangkan oleh DAP dengan meletakkan muka baharu tetapi dengan pengalaman mengendalikan DUN masing-masing.

“Jadi ini merupakan satu strategi penting dipertimbangkan oleh DAP, kita letakkan muka baharu tetapi dengan pengalaman iaitu ada pengalaman di kawasan tersebut, yang sudah berkhidmat di sana, pengundi mengenali mereka dan mereka akan bertanding di peringkat Parlimen.

“Kita tahu beberapa kerusi ini adalah kerusi panas, terutamanya Bentong dan Raub, tetapi ini adalah kerusi marginal, pimpinan pusat meletakkan tumpuan terhadap kerusi yang akan dipertandingkan,” katanya.

Katanya, ibu pejabat DAP akan memberi sokongan penuh kepada calon-calon berkenaan khususnya di Bentong yang meletakkan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok sebagai CEC mentor bagi memastikan kejayaan Rara.

Related posts

Leave a Comment