KANGAR 26 Sept. – Sikap mengagungkan serta taat kepada sesuatu ajaran secara membuta tuli harus dibanteras habis-habisan kerana pendekatan sedemikian akan menjerumuskan umat Islam ke arah ketaksuban yang akhirnya membodohkan fungsi akal.
Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) menegaskan, doktrin seperti itu jugalah akan mewujudkan pelbagai ajaran sesat di negara ini dan menimbulkan masalah seperti mana yang berlaku pada pengikut Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn. Bhd.
“Sikap ikut secara membuta tuli adalah kerana mereka mengkultuskan pemimpin agama dan menganggap sosok pemimpin mereka itu seorang yang suci dengan menganggap segala perkataan mereka adalah mewakili Tuhan.
“Inilah masalah yang ada dalam GISB dan juga sebenarya ada dalam sebahagian kelompok ajaran tarekat di negara ini,” kata Dr Maza ketika menyampaikan kuliah di Masjid Alwi, Kangar malam ini.
Menurutnyw, sebahagian ibadat yang dilakukan oleh kelompok tersebut bukan lagi mengingatkan diri mereka kepada Allah tetapi kepada guru atau pemimpin mereka.
Dengan itu, lama-kelamaan ia bukan sahaja akan menyimpang daripada ajaran agama sebenar malah akan mudah dimanipulasi demi kepentingan peribadi pemimpin mereka itu.
“Ada dalam kalangan mereka sudah diasuh sejak kecil untuk memanggil nama pemimpin mereka jika berada dalam kesusahan. Mereka telah lupa untuk meminta kepada Allah seperti mana yang diajarkan oleh Islam.
“Demikian juga apa yang berlaku dalam aliran tarekat Naqsyabandiah yang tidaklah jauh daripada apa yang ada dalam GISB itu,” katanya.
Jelas Dr Maza pengikut- pengikut daripada aliran seperti itu, tidak lagi mampu berfikir atau bertanya kewajaran sesuatu perkara yang dilakukan oleh pemimpin mereka apatah lagi untuk membantah setiap arahan atau ajaran yang dilontarkan.
Justeru, pemikiran seperti itu harus diperangi habis-habisan untuk mencegah perkara sebegitu daripada berulang atau menular ke dalam masyarakat.
Dr Maza pada masa yang sama turut mempersoal tentang siapakah yang sebenarnya berada di belakang GISB selama ini sehinggakan pihak berkuasa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) gagal mengesan segala perniagaan mereka untuk dikenakan cukai yang sepatutnya.
Jelasnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku malah tentu sekali ia menjadi isu besar memandangkan perniagaan yang dijalankan oleh entiti berkenaan bukannya sedikit.
“Kebiasaannya, kalaulah kita yang tidak berniaga inipun, iaitu makan gaji, dikenakan kawalan pemotongan cukai yang begitu ketat bahkan dikejar oleh LHDN andainya gagal melakukanya, bagaimana mungkin GISB yang memiliki begitu banyak perniagaan boleh terlepas selama bertahun-tahun?,” katanya.
Nnn
