Lawat muzium dan kebun

SINGAPURA 25 Okt. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memulakan lawatan ke Singapura hari ini dengan mengunjungi muzium dan kebun berkonsepkan pertanian bandar

Baginda berdua berkenan memulakan lawatan di Asian Civilisations Museum (ACM), Empress Place, yang turut disertai paduka anakanda Seri Paduka Baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.

ACM merupakan muzium negara purba Asia serta seni hiasan Singapura dengan satu-satunya muzium di Asia bercirikan skop pan-Asia, selain turut memberi tumpuan mengenai sejarah dalam aspek budaya dan tamadun termasuk perdagangan antara Asia dan seluruh dunia.

Pada pukul 3 petang, Seri Paduka Baginda berdua berangkat melawat Edible Garden City (EGC) iaitu kebun berkonsepkan pertanian bandar yang terletak berdekatan Queenstown.

Semasa di EGC, Seri Paduka Baginda berdua berkenan melawat beberapa kebun antaranya Sensory Garden dan Rock Garden dengan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif EGC Samuell Ang.

EGC merupakan perusahaan sosial yang mengutamakan ‘grow-your-own-food’ atau tanam sendiri makanan anda bagi meningkatkan sumber pertanian serta makanan di Singapura.

Related posts

Leave a Comment