PUTRAJAYA 31:Dis. – Kementerian Kesihatan melaporkan 34 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan 31,462 orang, daripada 2.74 juta kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data di portal COVIDNOW, 11 daripada 34 kes kematian yang dilaporkan, berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu dan melalui proses pengesahan sama ada pesakit meninggal dunia akibat pandemik tersebut.
Sementara itu, terdapat 45,983 kes aktif Covid-19 di seluruh negara di mana daripada jumlah itu, 38,844 individu atau 84.5 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 3,326 orang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 3,532 kes dirawat di hospital dan 281 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di mana 126 memerlukan bantuan pernafasan dan 155 memerlukan mesin ventilator.
