KUALA LUMPUR 19 April – Calon yang diturunkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, nanti akan mewakili Kerajaan Perpaduan dan bukan atas nama parti dalam gabungan itu.
Pengerusi penyelarasan gerak kerja jentera Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu, Dr Zambry Abdul Kadir, berkata calon berkenaan sedang dikenal pasti.
“Sesiapa pun yang masuk gelanggang tentunya dengan hasrat untuk menang. Jadi, kita akan susun gerak kerja dan program-program yang baik untuk meyakinkan rakyat dan membawa misi politik yang baik, iaitu ‘politik kesederhanaan’ daripada Kerajaan MADANI,” kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran program rintis ‘Artificial Intelligence Sandbox 2024’ antara Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dan NVIDIA di Taman MRANTI, Bukit Jalil, di sini, semalam.
Zambry berkata, pihaknya juga telah melakukan persiapan awal bagi menghadapi PRK itu untuk melihat keadaan semasa Kuala Kubu Bharu, dengan mengambil kira aspek jumlah pengundi, kedudukan lokaliti dan taburan penduduk.
Paling mustahak adalah untuk kita membawa mesej kerajaan ini, iaitu membawa ‘politik kesederhanaan’. Itu ialah moto kita yang paling mustahak,” katanya.
PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong (DAP-PH) pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei depan dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.
Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Saripah Bakar antara tiga nama disebut-sebut bakal dipertimbangkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi mempertahankan kerusi DUN) Kuala Kubu Baharu.
Nama Saripah difahamkan antara yang dicadangkan kepemimpinan DAP Parlimen Hulu Selangor bagi menarik sokongan pengundi Melayu yang mewakili kira-kira 46 peratus daripada keseluruhan lebih 40,000 pengundi berdaftar di kawasan itu.
Dua lagi nama disebut-sebut turut berada dalam senarai pemilihan DAP sebagai calon ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Digital, Mandeep Singh dan Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Alice Choo Foong Thye.
Mandeep yang berasal dari Kalumpang, Hulu Selangor bergiat aktif sebagai aktivis daripada Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).
Nama Mandeep juga pernah disebut-sebut sebagai calon DAP di DUN Kuala Kubu Baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor lalu.
Bagaimanapun, DAP memutuskan untuk mengekalkan mendiang Kee Hiong bagi penggal ketiga.