Qari Bahrain, qariah Malaysia johan tilawah

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Qari Bahrain, Mohamed Sameer Mohamed Magahed dan qariah Malaysia, Sofizah Mousin, masing-masing diumum johan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62, malam ini.

Mohamed Sameer memperoleh markah 93.33 peratus, manakala Sofizah meraih 89.66 peratus, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai dan piala.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan hadiah kategori qari, manakala bagi kategori qariah dikurniakan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sementara itu, wakil Malaysia, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, muncul naib johan qari dengan markah 88.83 peratus, manakala tempat ketiga dimenangi qari Indonesia, Muhammad Rizqon (88.34 peratus).

Widadul Wahidah Mahamod dari Singapura pula muncul naib johan qariah, dengan markah 87.50 peratus dan tempat ketiga, Yuni Wulandari Hasim (87.49 peratus) dari Indonesia.

Turut hadir pada majlis penutup MTHQA62, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

Majlis bertemakan “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran,” itu berlangsung selama enam hari bermula Rabu lalu, membabitkan 36 peserta dari 28 negara dan pertama kali diadakan selepas dua tahun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19

Related posts

Leave a Comment