Kunjungan Zahid sempena pasca banjir

KUANTAN: Kunjungan Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Cameron Highlands adalah sempena lawatan pasca bencana di Kampung Orang Asli Sungai Ruil, susulan kejadian tanah runtuh pada Oktober tahun lalu.

Menteri Besar yang juga Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy Wan Ismail, berkata, ia disusuli program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO bersama UMNO Bahagian Cameron Highlands yang dihadiri pimpinan UMNO di peringkat negeri dan bahagian.

Justeru beliau menafikan tuduhan penulis blog, Raja Petra bahawa Presiden UMNO telah mengarahkan agar semua Ahli Parlimen BN untuk berkumpul di Cameron Highlands bagi tujuan menyatakan pendirian sokongan kepada Perdana Menteri.

Katanya, laporan itu adalah tidak betul dan fitnah semata-mata yang tidak lain sekadar bertujuan untuk mensensasikan isu berkaitan ‘Langkah Dubai’.

“Malah, ia dibuat pula oleh seorang penulis blog veteran yang mengabdikan diri di luar negara kerana takut diambil tindakan atas fitnah-fitnah yang dibuat hampir setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Rosdy berkata, hasil lawatan itu, beberapa keputusan mustahak yang menguntungkan rakyat juga dibuat.

“Ia kemudiannya disusuli program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO bersama UMNO Bahagian Cameron Highlands. Program ini dihadiri pimpinan UMNO di peringkat negeri dan bahagian,” katanya.

Menteri Besar Pahang itu juga menasihatkan rakyat Malaysia tidak percaya dengan fitnah murahan seperti ini.

“UMNO akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menggunakan wewenang baginda untuk mencadangkan agar Kerajaan Perpaduan ini ditubuhkan.

“Fokus dan tumpuan sepenuhnya akan diberikan kepada negara dan rakyat, bukan bermain politik murahan yang merugikan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment