Khalid Samad hijrah ke Titiwangsa

KUALA LUMPUR 23 Okt. –  Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berpindah ke kawasan P119 Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 selepas tiga penggal mewakili Amanah di Parlimen Shah Alam.

Pengarah Pilihan Raya Amanah, Asmuni Awi dalam satu kenyataan berkata, pencalonan itu merupakan satu pengorbanan yang luar biasa, serta satu langkah berisiko tinggi kepada calon Itu.

Bagaimanapun keputusan itu juga mengambil aspirasi dari Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim sendiri yang bersedia untuk meninggalkan ‘zon selesa’.

Pada PRU lalu, Khalid memperoleh majoriti 33,849 menunjukkan kepimpinannya diterima semua pihak,” katanya lagi.

Pada PRU yang lepas, Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas kerusi itu dari UMNO, apabila calon mereka, Rina Harun menewaskan bekas Menteri Kewangan II,Johari Abdul Ghani dan Mohamad Noor Mohd dengan majoriti 4,139 undi.

Rina yang ketika itu mewakili Bersatu di bawah bendera PKR , berjaya memperoleh 23,840 undi tetapi parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu bertindak keluar PH dan membentuk kerajaan gabungan dengan Barisan Nasional (BN) pada 2020.

Difahamkan, Johari, akan kembali di Titiwangsa dalam misi merampas kembali kerusi tersebut dari tangan PH.

Beberapa pemerhati politik merasakan pertembungan di Titiwangsa tidak kurang menariknya, memandangkan Khalid dan Johari mempunyai pengalaman yang sama luas dalam menangani isu penduduk setempat, khususnya tentang pembangunan Kampong Bharu.

Untuk rekod, Johari terlibat secara langsung dalam pembangunan kawasan tersebut, sewaktu beliau menjadi pengerusi Uda Holdings, manakala Khalid pula pernah terlibat secara langsung dalam rundingan tentang isu pemilikan dan penjualan tanah dengan penduduk Kampong Bharu.

“Titiwangsa bakal menjadi percaturan sengit kepada Khalid. Beliau akan mempertaruhkan rekod cemerlangnya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan untuk memastikan Titiwangsa kekal sebagai Wilayah Harapan.

“Banyak lagi percaturan berisiko tetapi berstrategi tinggi akan diambil oleh Harapan untuk memastikan pengundi seluruh negara turun mengundi pada 19 November dengan keyakinan dan doa untuk membentuk sebuah kerajaan persekutuan baharu,” katanya lagi.

Asmuni berkata, PH akan terus menjadikan penghapusan rasuah sebagai tekad utama, selain penyediaan peluang pekerjaan bermutu dan terjamin kepada anak tempatan serta pemulihan imej negara melalui kestabilan politik dan ekonomi yang kukuh.

Related posts

Leave a Comment