Pulanglah sebelum hilang kerja

PUTRAJAYA: Daripada hilang kerja, adalah lebih baik mereka terutama kakitangan awam yang meloloskan diri merentas negeri untuk balik ke kampung menyambut Aidilfitri kembali segera melaporkan diri bekrja di pejabat.

Tanggunglah risiko untuk dikompaun atau apa juga tindakan berbanding kebarangkalian kehilangan  mata pencarian sebagai penjawat awam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, jika sebelum ini mereka berani melanggar arahan dengan pulang ke kampung, maka mereka juga perlu berani menanggung akibatnya.

“ Kepada mereka, saya nasihatkan baliklah, jangan tidak balik kerana hari ini, KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka yang gagal bertugas selepas cuti akan diambil tindakan tatatertib.

“Jadi jika mereka berani buat, mereka kena berani tanggunglah. Kalau mereka lolos dulu, mereka ‘cekaplah’… tapi kalau mereka balik dan tak boleh lolos, akan diambil tindakan oleh polis, bayar sahajalah kompaun,” katanya.

Beliau berkata, jangan kerana takut dikenakan tindakan serta perlu membayar kompaun, mereka tidak pulang dan akhirnya kehilangan pekerjaan.

Sementara itu, mulai esok (27 Mei) pemilik kenderaan persendirian dibenarkan membawa maksimum tujuh penumpang bergantung kepada kapasiti kenderaan.

Related posts

Leave a Comment