Sambutan Hari Alam Sekitar Negara

KUANTAN 22 Okt. – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Kebangsaan 2022 di sini hari ini.

HASN yang disambut setiap 21 Oktober setiap tahun mengekalkan tema ‘Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama’ dengan tambahan slogan ‘Menyantuni Alam Sekitar dan Keluarga Malaysia’.

Seri Paduka diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, barisan kepemimpinan kerajaan negeri, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man serta Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah.

Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam kenyataan menyeru rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk menjadi ‘mata dan telinga’ bagi membantu membanteras kegiatan yang merosakkan alam sekitar.

Penyertaan masyarakat menerusi aktiviti pemeliharaan alam seperti penanam pokok, gotong-royong berkaitan alam sekitar, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna selain program pendidikan seperti membudayakan gaya hidup lestari amat digalakkan.

Sempena HASN juga, pelbagai aktiviti telah dianjurkan antaranya pertandingan mewarna dan reka cipta bahan kitar semula, pengumpulan buangan kitar semula, Kempen Hindari Plastik Sekali Guna, pelancaran buku Islam dan Alam Sekitar serta penyampaian Anugerah Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) Peringkat Kebangsaan 2020/2022.

Related posts

Leave a Comment