KULAI – Pelaksanaan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial, untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko dieksploitasi serta terdedah kepada kandungan tidak wajar dalam talian, dijangka dikuatkuasakan seawal Julai ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA), perbincangan dengan penyedia platform telah dimulakan bagi mengenal pasti pendekatan paling berkesan.
“Sekarang ini, kita berada dalam fasa regulatory sandbox untuk mencari cara paling baik, berkesan, dan selamat bagi melaksanakan pengesahan umur. Buat masa ini, ia masih di peringkat perbincangan dan perancangan bersama penyedia platform.
“Ini merupakan sasaran kita untuk tahun ini. Seperti diumumkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini, kita jangka pelaksanaan akan berlaku pada separuh kedua tahun ini, iaitu suku ketiga atau keempat,” katanya ketika selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Utama di sini, hari ini.
Kerajaan dilaporkan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026, bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.
Ditanya mengenai isu buli siber terhadap pemain badminton negara, Toh Ee Wei, Teo berkata beliau masih belum menerima pengesahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sama ada terdapat sebarang aduan berhubung perkara itu.
Nnn
