Lantikan peguam luar tidak ikut prosedur

PUTRAJAYA 22 Okt. – Bekas Peguam Negara, Tommy Thomas didakwa mengetepikan pegawainya sendiri dan melantik 23 peguam luar bagi mewakili kerajaan tanpa mengikut prosedur.

Menurut laporan Pasukan Petugas Khas (STF) siasatan ke atas dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ tulisan Tommy, pelantikan berkenaan disifatkan sebagai ‘tidak pernah berlaku’ dalam sejarah perkhidmatan awam negara.

STF turut menyifatkan pelantikan itu tidak wajar dan menimbulkan pertikaian kerana pelantikan mereka bagi mengendalikan kes berprofil tinggi secara langsung memberi peguam terbabit akses kepada dokumen dan maklumat sulit.

Menurut STF, antara yang dilantik ialah peguam British, Toby Landau dan Luke Parsons dari firma berpangkalan di Singapura dan Los Angeles bagi mengendali isu membabitkan diskriminasi minyak kelapa sawit oleh Kesatuan Eropah (EU).

Thomas menurut STF dalam bukunya menyatakan bahawa peguam di Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai komitmen, semangat dan dorongan sebagai anggota Badan Peguam Malaysia.

STF berkata, sebagai ketua jabatan Thomas perlu menyatakan cadangan untuk memperbaiki kelemahan, bukan mengetepikan pegawainya dan melantik peguam luar.

Justeru STF mengesyorkan supaya satu garis panduan patut ditetapkan khusus mengenai kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya dalam melantik peguam luar bagi mewakili kerajaan.

Katanya, garis panduan itu perlu dipastikan ketelusan dan integriti serta mengetepikan sebarang konflik kepentingan.

STF juga mengesyorkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat peguam, Ganesan Nethi yang dilantiknya bagi mengendalikan kes berkaitan Goldman Sachs kerana terdapat konflik kepentingan.

Menerusi buku tulisannya, Tommy menggambarkan Ganesan sebagai bekas rakan kongsinya yang dilantik bagi membantu merangka semua pertuduhan terhadap Goldman Sachs.

Walaupun berpuas hati dengan penjelasan Jabatan Peguam Negara, STF berpandangan pelantikan bekas rakan kongsi itu berpotensi menyebabkan kes terbabit terbuka untuk semakan kehakiman atas dasar konflik kepentingan.

“Walaupun Ganesan menawarkan perkhidmatannya secara pro bono atau tidak dibayar, isu ganjaran ditakrifkan secara meluas dalam Akta SPRM 2009,” katanya.

Related posts

Leave a Comment