Jangan ikut perangai ketam

KUALA BERANG 21 Okt. –  Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua peringkat anggota parti itu supaya tidak mengikut perangai ketam jika mahu parti memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Jangan ikut perangai ketam dalam bakul, pijak sesama sendiri dan akhirnya mati disebabkan sikap sendiri,” katanya.

Beliau mengingatkan walaupun BN dan UMNO dianggap kuat, seluruh pimpinan parti perlu ingat pembangkang lebih kuat jika dapat memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan ahli UMNO dan BN.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berucap merasmikan Jentera Pilihan Raya BN Terengganu di Kampung Jenagor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob dan  Mahdzir Khalid; Ketua Wanita,  Dr Noraini Ahmad; Setiausaha Agung, Ahmad Maslan dan Pengerusi UMNO Terengganu, Dr Ahmad Said.

Ahmad Zahid berkata, semangat kesatuan dan solidariti ahli parti, malah rakyat juga sudah kuat dan mereka mengharapkan BN berjaya menubuhkan kerajaan, terutama menolak ‘katak’ atau wakil rakyat melompat parti yang cuba merosakkan sistem demokrasi.

Katanya, berdasarkan solidariti dan semangat kesatuan di antara pemimpin lama dan baharu, BN yakin mampu merampas lebih banyak kerusi Parlimen pada PRU15, sekali gus menubuhkan kerajaan tanpa perlu bergabung dengan parti lain.

“Kita juga yakin BN Terengganu mampu menyumbang kerusi Parlimen melebihi sasaran ditetapkan pada PRU15, lebih daripada empat kerusi seperti sasaran yang ditetapkan Datuk Seri Ahmad (Said),” katanya.

Related posts

Leave a Comment