Calon BN dimuktamadkan sebelum 5 Nov.

KUALA BERANG 21 Okt. – Calon-calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dimuktamadkan selewat-lewatnya tiga hingga lima hari sebelum penamaan calon.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dimuktamadkan hasil perbincangan bersama parti komponen dengan menampilkan 70 peratus muka baharu.

Beliau berkata, kehadiran calon baharu sudah diuji dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang lalu dan mereka diterima baik oleh pengundi.

“Kita tampilkan 84 peratus muka baharu di Melaka dan 72 peratus di Johor, pengundi mahukan muka-muka baharu ini untuk beri semangat baru kepada parti dan berkhidmat kepada rakyat diwakili,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Solidariti dan Kemakmuran serta Pelancaran Jentera BN PRU15 di Akademi Binaan Malaysia di Jenagor di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Perhubungan BN Terengganu, Ahmad Said?

Ditanya mengenai persediaan BN terhadap 27 kerusi Parlimen yang disifatkan kritikal, Ahmad Zahid berkata, pihaknya mengenal pasti antara 27 hingga 31 kerusi dan akan meletakkan calon.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan parti itu memberikan tumpuan kepada kemenangan.

“Namun, kita berazam dengan keputusan yang telah dibuat oleh parti dan pihak yang berkenaan tidak lagi bersama dengan kita. Azam kita untuk terus memperkukuhkan jentera parti komponen bersama-sama dengan parti Friends of BN dan juga beberapa pihak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment