Elak kerajaan melukut di tepi gantang

KUALA BERANG 21 Okt. – Barisan Nasional (BN) tidak mahu lagi sebuah kerajaan umpama ‘melukut di tepi gantang’ seperti sebelum ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, BN dengan 42 kerusi sebelum ini mewujudkan ketidakstabilan politik berbanding parti lain mempunyai lebih banyak kerusi contohnya Perikatan Nasional (PN) 49 kerusi, GPS 19 dan dengan 42 kerusi BN tiada kekuatan.

Naib Presiden UMNO itu berkata,, jika lima orang menarik diri, kerajaan yang dipimpin BN akan tumbang.

“Oleh  itu saya bersama ‘top 5’ bermesyuarat untuk membuat keputusan membubarkan Parlimen. Kita perlu bentuk kerajaan yang dominan supaya mudah membuat keputusan besar selain mewujudkan kerajaan yang stabil dan dalam masa sama mampu meningkatkan tahap ekonomi negara.

“Kita bukan setakat nak menang tapi nak memang besar…bukan menang dan menubuhkan kerajaan melukut tepi gantang mengharapkan ehsan orang untuk memerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Serta Pelancaran Jentera Barisan Nasional Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) Negeri Terengganu, di Dewan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Jenagor, di sini, hari ini.

Menurutnya, lebih lama masa diambil tanpa bubarkan Parlimen maka ketidakstabilan politik negara dilihat semakin meruncing dan usaha untuk memulihkan ekonomi negara juga terbantut.

“Menteri keluar kenyataan akur kepada arahan parti. (Mungkin) lebih banyak arahan lepas ini.. lebih sukar.. belum presiden dia petik butang.. saya petik butang dulu.

“Terengganu diharap mampu menyumbang beberapa kerusi dalam PRU-15 manakala Hulu Terengganu berjaya merampas kembali kerusi yang dimenangi oleh UMNO sebelum ini.

“Kita rampas semula kerusi kita yang dirompak, kerusi ini hak kita (UMNO) dalam PRU-14.. dia rompak kerusi kita.. kita mesti rampas semula,” katanya.

Ismail berkata, syarat utama kemenangan parti adalah solidariti antara kepemimpinan kerana kesepakatan sesama ahli mampu menjamin kemenangan buat BN.

Justeru beliau menasihati ahli BN supaya tidak terjebak dengan amalan ‘cah keting’ (sabotaj), jika tidak tercalon pada PRU15 nanti.

Katanya, mereka yang tidak tercalon, harus menerima keputusan parti dengan hati terbuka dan bukannya terlibat dengan amalan ‘cah keting’, kerana perbuatan itu boleh membuatkan BN kecundang walaupun di kubu sendiri.

Beliau mengingatkan, dua perkara yang perlu dipegang untuk memastikan BN memenangi semula negeri Terengganu, iaitu mengelak perpecahan dan jentera perlu bekerja kuat.

Related posts

Leave a Comment