SEPANG 12 Ogos – Kelas pasang Jalur Gemilang yang dirancang Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh dibatalkan memandangkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memasang bendera gergasi di kedai perkakas di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Dr. Akmal juga memaklumkan beliau akan turun ke Pulau Pinang mengunjungi kedai perkakas kontroversi berkenaan pada petang Khamis ini bagi meninjau Jalur Gemilang gergasi yang dipasang Anthony Loke.
Beliau dalam video dimuat naik di Facebooknya pada Selasa juga sangat teruja untuk bersama-sama DAP Pulau Pinang mengedarkan Jalur Gemilang di lokasi berkenaan.
“Saya nak ucapkan terima kasih Anthony Loke kerana bersetuju untuk pasangkan bendera yang besar katanya kat situ (kedai perkakas) maksudnya lebih kurang nak mengajar kepada pekedai itu cara pasang bendera lah tu, – dah sebabkan Anthony Loke dah mengajar, kelas saya nak buat itu kita cancel.
“Tapi saya akan tetap datang juga hari Khamis ini sebab kita nak tengok Anthony Loke pasang bendera itu sama ada betul ke tak betul pasang, dengar kata orang DAP nak sambut petang tu, sebab mereka nak sambut takkanlah saya tak nak datang.
“Insya-Allah Khamis petang sekitar jam 5.30 atau 6 petang saya akan datang di situ, saya pun nak tengok sambutan macam mana dan katanya nak bagi bendera, kita pun ada bawa bendera kita akan bagi sama-sama untuk kita bagi kesedaran kepada orang ramai.
Jadi ahli DAP yang nak sambut kami pada petang hari Khamis tu jumpa nanti sama ada ada dakwa atau tak dakwa itu perkara kedua,” ujar Akmal.
