DAP sindir Hadi bekerjasama dengan ‘komunis’

IPOH 20 Okt. –  Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menyindir Presiden Pas Abdul Hadi Awang yang ‘lupa’ bahawa beliau pernah bekerjasama dengan DAP, parti yang dikaitkan dengan fahaman komunisme.

Katanya, Abdul Hadi, ‘mungkin terlupa’ bahawa Pas pernah bekerjasama dengan DAP dan duduk sebelah-menyebelah dengan pemimpin parti itu.

“Kita bukan komunis. Orang yang cakap DAP komunis ini, dia pun pernah bekerjasama dengan ‘komunis’.

Adakah dia sudah lupa, dia pun duduk bersama (Pengerusi DAP) Lim Guan Eng, (veteran DAP) Lim Kit Siang dan tandatangan dokumen bersama DAP. Mungkin dia sudah lupa,” katanya pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH), di sini, malam ini.

Semalam, Abdul Hadi memuat naik poster tertulis ‘#TolakDAP pro-komunis’ dan menyifatkan komunisme sebagai fahaman yang menolak kepercayaan kepada Tuhan.

Presiden Pas itu mengaitkan tiga tindakan DAP dengan fahaman komunisme, iaitu membawa pulang abu mayat Chin Peng, menyertai perhimpunan memperingati komunis dan menerbitkan komik berideologikan komunisme.

Menurut Loke, DAP sudah sekian lama mengakui secara terbuka menyokong Perlembagaan Persekutuan, khususnya peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Dalam pada itu, Loke menegaskan, beliau sudah membayangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi ke-112 pada 19 November depan, sekali gus sekali lagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Tidak lama selepas itu, Ketua Setiausaha PH akan terima panggilan daripada Istana Negara menjemput Pengerusi PH untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 9 pagi, untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10.

“Itu gambaran yang saya bayangkan ketika ini. Saya seorang yang penuh dengan mimpi dan impian. Mimpi dan impian boleh jadi realiti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment