UMNO tolak bersama ‘musuh dalam selimut’

KUALA LUMPUR 19 Okt. – UMNO mengulangi pendirian menolak kerjasama dengan Bersatu demi mengelakkan kemudaratan yang besar lebih-lebih lagi parti itu ditubuhkan dengan matlamat untuk menamatkan riwayat UMNO dan BN.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata, keputusan penolakan kerjasama itu juga tidak bersifat individu, sebaliknya dicapai bersama oleh pimpinan dan akar umbi parti.

Justeru beliau menolak tohmahan yang mengatakan parti itu memecah belahkan ummah apabila enggan bekerjasama dengan Bersatu sedangkan UMNO itu sendiri memayungi penyatuan ummah.

“Agenda itu malah terkandung rasmi dalam perlembagaannya demi agama, bangsa dan negara. Seterusnya diharmonikan dalam sebuah gagasan besar milik rakyat Barisan Nasional (BN).

“UMNO, MCA, MIC, PBRS dan ‘Friends of BN’ bermuafakat dengan prinsip bangsa Malaysia saling menghormati. Inilah jua asas yang kukuh memupuk kestabilan dan kemakmuran Malaysia selama ini,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mempersoalkan apakah rasional UMNO diasak dan didesak supaya bersama musuh dalam selimut.

Katanya, dalam mendalami perihal pemecah belah ummah, ia harus bersandarkan fakta dan sejarah yang nyata di mana ia bermula dengan kewujudan parti-parti politik serpihan angkara krisis tamak kuasa.

“Bermula dengan PKR, disusuli kewujudan Bersatu, PAN dan Pejuang memangkin kepada perpecahan. Para pimpinannya malah pernah bersekongkol dengan DAP yang mereka labelkan tidak selari dengan Melayu, rela dipergunakan untuk memecahahbelahkan ummah demi memenuhi cita-cita peribadi,” katanya.

Beliau berkata UMNO tetap UMNO bersama BN membentuk sebuah gabungan rakyat berbilang bangsa, kaum dan agama yang tidak pernah memecahbelahkan kesatuan ummah, tidak pernah jua merobek penyatuan bangsa Malaysia.

“Justeru, pada PRU-15 pengundi harus berani menilai erti kestabilan dan kemakmuran dalam menetapkan pilihan. Usah terkilaf membuat penentuan kerana penyatuan ummah dan rakyat Malaysia kini terletak di tangan anda,” katanya.

Related posts

Leave a Comment