Kami pun ada maruah”

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Masih belum terlambat untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memecat anggota Jemaah Menteri Perikatan Nasional (PN) yang memangku jawatan ketika ini berikutan isu 12 menteri PN menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah pembubaran Parlimen.

Seorang anggota Kabinet daripada Bersatu, Dr Abd Latiff Ahmad, berkata kenyataan Ismail Sabri baru-baru ini mengenai ‘pecat menteri’, tidak sepatutnya disebut dalam ucapan politik walaupun disampaikan secara gurauan dan sinikal.

“Memang kita tahu Perdana Menteri mempunyai kuasa ‘hire and fire’ (lantik dan pecat), namun kami pun ada maruah. Tidak perlu pecat, kami pun boleh letak jawatan lebih awal.

“Kami masih lagi anggota Kabinet ‘caretaker’ (sementara). Masih belum terlambat untuk dipecat. Mungkin Perdana Menteri Kesembilan boleh mencipta sejarah dengan memecat anggota Kabinet dalam masa ‘kecederaan’,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), itu dalam satu kenyataan hari ini.

Isnin lalu, Ismail Sabri dalam ucapannya ketika Majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Negeri Perak di Bagan Datuk, mendedahkan beliau ada memberi bayangan mengenai pembubaran Parlimen dalam Kabinet.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu dibawa dalam mesyuarat Kabinet terakhir pada 7 Oktober lalu, yang mana beliau memaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, akan membubar Kabinet jika ada yang tidak bersetuju dengan pembubaran Parlimen.

“Silap, patutnya saya pecat semua sekali, tapi saya tidaklah seperti itu. Saya orangnya baik, lemah lembut, tetapi bukan lembut,” kata Ismail Sabri.

Abd Latiff yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mendakwa isu pembubaran Parlimen tidak pernah dibincangkan dalam Kabinet, sebelum Perdana Menteri memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau mendakwa Ismail Sabri berteka-teki mengenai perkara itu apabila ditanya mengenai tarikh pembubaran Parlimen oleh anggota Kabinet dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang terakhir.

Menurut Abd Latiff , mesyuarat membincangkan hal persediaan pilihan raya bersekali dengan persediaan bencana, Monsun Timur Laut (MTL) dan persediaan Bajet 2023.

Katanya, pembentangan Bajet 2023 diawalkan juga mendapat persetujuan anggota Kabinet lebih awal, seingat saya tiga kali dibincangkan.

Bagaimanapun katanya, Perdana Menteri tidak pernah meminta mandat daripada anggota Kabinet mengenai tarikh pembubaran Parlimen sebaliknya ada menyatakan bahawa keutamaan persediaan bencana, MTL dan kos barangan berbanding PRU15.

“Jika Perdana Menteri menyatakan hasrat membubarkan Parlimen secara terus terang dan ikhlas, saya percaya anggota Kabinet akan bersetuju dan memberi mandat kepada beliau.

“Malah pada pagi Jumaat 7 Oktober 2022, seorang Menteri Kanan bertanyakan ‘bila nak bubar?’. PM9 masih berteka-teki dengan anggota Kabinet,” dakwanya.

Related posts

Leave a Comment