Pengalaman jadikan Ismail Sabri calon PM terbaik

TASEK GELUGOR 19 Okt. – Naib Presiden UMNO,  Ismail Sabri Yaakob adalah calon Perdana Menteri yang terbaik untuk Malaysia berdasarkan pengalamannya memegang pelbagai portfolio menteri, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican.

“Pengalaman ini membuatkan kerajaan di bawah pimpinannya tidak dipacu secara ‘autopilot’ dan beliau sentiasa memastikan rakyat terbela termasuk menaikkan subsidi,” katanya.

Sepanjang penglibatannya sebagai Ahli Parlimen, Ismail Sabri diberi tanggungjawab sebagai Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Menteri Kanan Pertahanan.

Menurut Reezal Merican, bagi memastikan rakyat tidak terus terhimpit, Ismail Sabri melakukan intervensi dan buat kali pertamanya kadar subsidi oleh kerajaan mencecah hampir RM80 billion.

“Saya harap rakyat terus memberi sokongan kepada beliau untuk menjadi Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya semasa berucap di Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri berjaya membuka sempadan negara dan merancakkan semula ekonomi negara, di samping menurunkan kadar pengangguran kepada 3.4 peratus daripada 5.3 peratus.

Ismail Sabri dalam ucapannya turut mengetengahkan pelbagai program yang dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) khusus untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Ini termasuk Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) yang bertujuan mengimbangi kesan pembangunan pesat dan komuniti bandar, dengan sejumlah RM2.25 juta diluluskan oleh kerajaan bagi pelaksanaan PKKB di Semenanjung Malaysia.

Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) pula seperti seperti Program Baik Pulih Rumah di Bandar dan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) merupakan usaha berterusan KPKT untuk meningkatkan kualiti hidup keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di bandar.

Bagi Program Baik Pulih Rumah di Bandar di bawah PPKB, peruntukkan RM6.5 juta disalurkan khusus untuk Keluarga Malaysia di Pulau Pinang yang bakal memberi manfaat kepada 435 orang penerima bantuan perumahan.

PEKB pula adalah program dalam komuniti B40 yang bertujuan meningkatkan kemahiran keusahawanan dan perniagaan, yang menyaksikan pada tahun 2022, seramai 249 peserta program PEKB telah berjaya dilatih di Pulau Pinang.

Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang diperkenalkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berjaya menyiapkan sejumlah 51,726 unit RMR di seluruh negara termasuk 519 unit RMR di Pulau Pinang.

Related posts

Leave a Comment