“Gantung itu bukan gantung mati”

KUALA LUMPUR: “Bukan gantung mati”, Itu reaksi Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman ketika mengulas penggantungannya selama enam tahun oleh UMNO baru-baru ini.

Tajuddin ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat berkata, beliau masih ahli UMNO.

“Itu tiada masalah, kita masih UMNO. (Tindakan) gantung itu bukan gantung mati, apa ada masalah?

Kalau nak gantung, gantung bagi mati, itu OK. Kalau tak mati, nanti takut dia hidup balik,” katanya disambut ketawa ahli dewan.

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan (BN-Pontian), yang kebetulan duduk di sebelah kanannya kelihatan tersenyum lebar.

Beliau dilaporkan digantung daripada parti selepas diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kertas Tertinggi (MKT) UMNO, Jumaat lalu.

Selain Tajuddin, MKT UMNO juga memecat keahlian Ketua UMNO Cawangan Projek Perumahan Awam (PPA) Sri Labuan yang juga blogger,  Zaharin Mohd Yasin dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Mohd Yusof Ismail daripada parti berkuat kuasa serta-merta, mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9.

Tajuddin mengeluarkan kenyataan itu apabila dia diganggu ketika sesi soalan lisan.

Beliau mengemukakan soalan tambahan mengenai cabaran ekonomi di negara ini, masalah pengeluaran seperti yang dihadapi oleh industri elektrik dan elektronik.

Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang mencelah dan bertanya sama ada Tajuddin akan bertanding lagi pada Pilihan Raya Umum (PRU) kelak.

“Itu tiada masalah, kita masih UMNO. (Tindakan) gantung itu bukan gantung mati. Apa ada masalah?,” katanya.

Pada Jun lalu, Tajuddin telah disingkirkan daripada MKT kerana menggelar presiden parti Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai “liabiliti” dan menuntut peletakan jawatannya daripada jawatan tertinggi.

Related posts

Leave a Comment