Menunggu tarikh penamaan calon, hari mengundi

PUTRAJAYA 19 Okt. –  Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis, 20 Oktober menjadi tumpuan berikutan akan terjawab beberapa persoalan mengenai beberapa tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain PRU15 peringkat Parlimen, mesyuarat juga akan menentukan tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah dan tiga negeri yang membubarkan DUN iaitu Pahang, Perlis dan Perak.

Selain tarikh writ pilihan raya dikeluarkan, dua tarikh penting yang menjadi tumpuan adalah hari penamaan calon dan hari pengundian yang sekaligus akan menjawab tempoh berkempen pada pilihan raya kali ini.

Pelbagai ramalan dibuat berhubung hari penamaan calon dan pengundian. Adakah ia akan berlangsung pada hari bekerja atau pada hujung minggu? Berapa hari tempoh berkempen kali ini? Sembilan, 10, 12 atau 14 hari?

Tarikh popular pengundian dikatakan pada 12 atau 19 November yang jatuh pada hujung minggu iaitu hari Sabtu dengan hari penamaan calon pula pada awal November, selewat-lewatnya 5 November.

Ini bermakna jika pengundian berlangsung 12 November, tempoh kempen adalah seminggu tetapi jika 19 November tempoh kempen selama lebih kurang 14 hari. Itu jika diambil kira hari penamaan 5 November, juga jatuh pada hari Sabtu.

Bagaimana pula jika hari mengundi jatuh pada hari biasa? Sama seperti PRU14, hari pengundian adalah pada hari Rabu yang sedikit sebanyak menimbulkan rungutan.

Dalam menentukan tarikh-tarikh penting ini, hari-hari tertentu juga diambil kira termasuk cuti umum atas peristiwa tertentu supaya ia tidak memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi.

Bagaimana pula dengan tempoh berkempen? Berapa hari dianggap memadai? Adakah ia memerlukan masa yang panjang yang boleh menimbulkan isu-isu lain seperti keselamatan atau ketenteraman awam, kos dan cuaca.

Mengikut rekod, kempen PRU14 pada 2018 berlangsung selama 11 hari bermula dari hari penamaan calon pada 28 April  sehinggalah hari terakhir sebelum mengundi iaitu pada 9 Mei 2018.

Bilangan hari kempen untuk PRU14 agak pendek, berbanding 15 hari pada PRU13 dan 13 hari pada PRU12 (2008).

Bagaimanapun, tempoh itu lebih panjang berbanding 10 hari pada PRU 1986, 1990 dan 1995 serta sembilan hari pada PRU 1999 dan lapan hari pada PRU 2004..

Tempoh kempen sepatutnya tidak kurang daripada 10 hari supaya wujud keseimbangan di antara keperluan untuk memberi hak kepada parti berkempen dan hak pengundi untuk mendapatkan maklumat.

Namun, hakikatnya parti-parti politik telah memulakan kempen sebaik sahaja terdengar desas-desus mengenai pembubaran Parlimen atau DUN dan lebih rancak sebaik sahaja pembubaran diumumkan.

Related posts

Leave a Comment