Ismail, Muhyiddin, Anwar mampu teraju negara

KOTA TINGGI: Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam menyifatkan tiga pemimpin dalam gabungan parti politik yang akan bertembung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mampu menerajui negara ini.

Mereka yang dalam keadaan sekarang berkebolehan adalah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-UMNO), bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Bersatu) dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-PKR).

Musa ketika menggariskan pilihan peribadinya berkata, nama tiga pemimpin itu dilihat memiliki kualiti, daya tahan serta karisma dalam memimpin negara mengharungi cabaran pada masa kini.

Beliau menegaskan dalam keadaan dunia begitu mencabar sekarang, negara amat memerlukan kepemimpinan bertaraf dunia, pemimpin berkualiti, berpengalaman dan tabah berani dalam menghadapi apa jua cabaran yang datang.

Ketika ini, negara kita sangat kekurangan pemimpin-pemimpin yang mampu berdepan pelbagai cabaran dunia kini.

“Sekarang nampaknya memang kita mengalami kekurangan pemimpin yang boleh dikatakan ‘top class’, kelas teratas,

“Saya hendak membuat satu analisis. Pemimpin pilihan peribadi saya yang saya lihat mampu memimpin negara dalam keadaan mencabar ini ada tiga nama, iaitu Ismail Sabri, Muhyiddin dan Anwar. Mereka ini berkebolehan memimpin negara dalam keadaan sekarang yang penuh kecelaruan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Tokoh: Kecelaruan Politik Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Johor, di sini, hari ini.

Musa yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO turut menamakan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebagai pemimpin muda berpotensi.

“Saya berpeluang bercakap dengan dia (Syed Saddiq). Dia ada idea bagus, ini pandangan saya tanpa prejudis dan tidak berpihak. Saya lihat dia ada keterujaan dan idealisme tersendiri.

“Orang di luar memang berkata macam-macam mengenai dia. Namun pada saya, dia mewakili golongan pemimpin masa depan.

“Dia juga ada pengikut ramai. Untuk dia menang kerusi atau mendapat dua tiga kerusi menerusi MUDA, bukan satu masalah,” katanya.

Musa juga berkata, kecelaruan politik yang sedang dialami negara disifatkan ibarat ‘politik kartun’.

“Saya hendak cakap terus-terang, setiap kali saya menghadapi kritikan (daripada orang luar), berikutan keadaan politik semasa dalam negara yang bercelaru ini, mereka cakap keadaannya seperti ‘politik kartun’.

“Keadaan politik negara macam hiburan pula, jadinya dengan kita (ahli politik) diketawakan,” katanya.

Mengenai penyatuan umat Melayu, Musa berpendapat selagi wujud amalan demokratik dalam politik dengan kebebasan, selama itulah penyatuan orang Melayu tidak akan tercapai.

Beliau merujuk kebebasan sesiapa sahaja yang boleh mendapatkan ahli untuk menubuhkan parti politik yang tidak dapat disekat lagi.

“Tetapi orang Melayu boleh mengenali diri mereka sendiri berasaskan kepada faktor lain seperti budaya, agama dan sebagainya yang boleh digunakan untuk bersatu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment