Annuar masih teringin jadi calon

PUTRAJAYA 18 Okt. – Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa mengakui masih berkeinginan menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seterusnya berkhidmat di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Komunikasi dan Multimedia itu berkata, kedudukan itu hanya akan ditentukan oleh ‘Top 5’ UMNO.

“Sebenarnya ramai (mahu menjadi calon), bukan saya sahaja. Kalau kita ada keinginan untuk berkhidmat maka ada keinginan untuk menjadi calon.

“Namun, sama ada menjadi calon untuk mewakili mana-mana parti, (seharusnya) partilah yang menentukan. Bukannya kita (calon),” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, di sini, hari ini.

Pada PRU14, Annuar menang dengan majoriti 4,626 undi menewaskan calon PAS dan Pakatan Harapan.

Terdahulu, dalam ucapannya Annuar berkata, seseorang individu yang menyertai politik, sukar meninggalkan bidang berkenaan.

“Sebagai seorang ahli politik yang menyertai lapan kali pilihan raya, iaitu tiga kali tewas serta lima kali menang, saya masih teguh berdiri dan masih lagi teringin menjadi calon.

“Kalau masuk politik ni, nak keluarnya payah. Kalau KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) tanya saya, jika belum masuk (politik), janganlah masuk,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata, kemenangan UMNO pada PRU15 di Ketereh amat bergantung kepada kebijaksanaan pengundi di kawasan berkenaan.

“Pengundi Ketereh cukup bijak dan saya percaya kali ini juga sama juga, cuma sesiapa menjadi calon nanti hendaklah berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab yang dihadapkan rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment