MCA sokong Tiong Lai kembali

PUTRAJAYA 18 Okt. – Bekas Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai, mendapat sokongan penuh MCA untuk dicalonkan semula bertanding kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong, berkata seluruh ahli parti itu memutuskan calon di kerusi tradisi parti itu adalah Tiong Lai dan berikrar menyokong bekas Ahli Parlimen Bentong berkenaan.

“MCA sudah membuat keputusan untuk menyokong pencalonan semula Tiong Lai sejak satu tahun setengah yang lalu dan beliau adalah calon MCA yang paling layak untuk kawasan Bentong.

“Walaupun gagal mempertahankan Bentong pada PRU yang lalu, beliau tetap setia dan terus memberikan khidmat di kawasan berkenaan dengan memberi bantuan kepada masyarakat di sana ketika bencana banjir serta kebakaran besar di Karak.

Beliau sentiasa berada di barisan hadapan membantu dalam usaha memberi petempatan mahupun pembinaan semula (kediaman). Ketika COVID-19 melanda, Tiong Lai bertungkus lumus mengumpul dana serta barangan untuk membantu rakyat,” katanya dalam Facebook, hari ini.

Pada PRU lalu, Tiong Lai yang juga Presiden MCA ketika itu gagal mempertahankan kerusi Parlimen Bentong yang disadangnya selama empat penggal selepas tewas kepada Wong Tack daripada DAP yang menang dengan majoriti 2,032 undi.

Ka Siong menegaskan, Tiong Lai sejak dulu sentiasa memelihara hubungan baik dengan persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain bagi mendengar dan menyelesaikan masalah penduduk.

“Ramai dalam kalangan pengundi menyatakan keinginan secara terbuka mahu Tiong Lai kembali menjadi wakil rakyat mereka, memandangkan sumbangan besarnya terhadap Bentong selama empat penggal menjadi Ahli Parlimen,” katanya.

Presiden MCA itu turut menyatakan rasa kesalnya terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mengatakan DAP akan mengumpul ‘peluru’ untuk membantu ‘menembak’ Tiong Lai sehingga tersungkur.

Ka Siong menyifatkan kenyataan itu sebagai  angkuh dan menyedihkan yang keluar daripada mulut seorang pemimpin yang tidak menghormati doktrin demokrasi.

“Seluruh ahli MCA akan memberikan sokongan tanpa belah bahagi bagi memastikan kemenangan Tiong Lai di Bentong supaya beliau dapat melaksanakan perancangan dan tugasan yang belum selesai.

Related posts

Leave a Comment