Sarawak timbang subsidi balik mengundi

KUCHING 18 Okt. – Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan permintaan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung yang memohon subsidi untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Premier Sarawak, Abang Johari Abang Openg, berkata beliau tidak menjanjikan kerajaan akan membiayai sepenuhnya kos penerbangan balik seperti ditanya seorang pelajar pada program ‘Lan Berambeh Anak Sarawak’ di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Sebaliknya beliau hanya memaklumkan kerajaan sedia meneliti dan mempertimbangkan pemberian subsidi jika ia tidak bertentangan dengan undang-undang pilihan raya.

“Perlu saya jelaskan di sini, apa yang saya katakan itu adalah kerajaan sedia mempertimbangkan apabila ada yang bertanya jika kerajaan Sarawak akan menanggung kos tiket penerbangan untuk anak Sarawak khususnya pelajar di luar Sarawak untuk balik mengundi.

Orang bertanya, jadi saya kena jawablah dan saya akan bertemu dengan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang lain untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenainya kerana kita mahu menelitinya dari sudut perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Persidangan dan Pameran Air dan Air Kumbahan Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2022, hari ini.

Kenyataan Abang Johari itu menerima pelbagai reaksi dengan ada yang mendakwa ia menyalahi undang-undang pilihan raya walaupun ramai  juga yang gembira dan berharap ia menjadi kenyataan.

Related posts

Leave a Comment