284 terima darjah PGAT

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) 2022 sesi pertama yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, Mohd Asghar selaku penerima kehormat, mendahului senarai 284 penerima pingat termasuk lapan pegawai tentera negara asing.

Seri Paduka turut mengurniakan darjah kehormat terdiri daripada Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 12 penerima termasuk dua pegawai tentera negara asing; Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada 34 penerima termasuk seorang pegawai asing; Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 118 penerima dan Bentara Angkatan Tentera (BAT) membabitkan 114 penerima.

Pegawai tentera negara asing yang dikurniakan darjah kehormat membabitkan lima penerima darjah PGAT iaitu Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI) Jenderal TNI Andika Perkasa; Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand General Chalermphon Srisawasdi dan Chief of General Staff Armed Forces of Saudi Arabia General Fayyad Hamed Al Ruwaili.

Turut menerima pingat itu ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Muhammad Haszaimi Bol Hassan dan Commanding General of the Philippine Army Lieutenant General Romeo S Brawner Jr.

Hadir sama ke istiadat ini ialah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Bin Abdul Aziz dan Panglima-Panglima Perkhidmatan.

Related posts

Leave a Comment