RUU anti lompat parti di Sabah Nov.

KOTA KINABALU 18 Okt. – Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan anti lompat parti dijangka dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada akhir bulan depan, kata Ketua Menteri, Hajiji Noor, berkata bagaimanapun kelulusannya bergantung sokongan daripada parti blok pembangkang.

“Insya-Allah kita akan perkenalkan dan membawa (pembentangan RUU anti lompat parti) ke persidangan DUN nanti. Mungkin kita akan bersidang hujung November ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 ((PRU15).

Ini bergantung kepada sokongan daripada pihak pembangkang kerana kita harus mempunyai dua pertiga majoriti untuk meluluskan RUU ini,” katanya selepas Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2022 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Wetrom Bahanda yang dilaporkan keluar Bersatu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyatakan sokongan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan), Hajiji berkata beliau belum menerima sebarang pengesahan.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah dan Pengerusi GRS berkata belum ada pengumuman rasmi daripada Wetrom.

“Saya pun tidak tahu beliau lompat (dari parti secara rasmi) atau tidak. Kita belum ada lagi pengumuman rasmi daripada beliau (Wetrom),” katanya.

Related posts

Leave a Comment