Tolak ‘nasi tambah’ di luar sana – Ismail

Tolak ‘nasi tambah’ di luar sana – Ismail Sabri

BAGAN DATUK 18 Okt. – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, menegaskan tidak ada perkara yang boleh memecahkan hubungan antara beliau dengan Presiden UMNO,  Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menjelaskan bahawa tidak ada sebarang isu atau berlaku perpecahan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu seperti dakwaan atau tohmahan sesetengah pihak.

Naib Presiden UMNO itu berkata, adu domba mengenai perkara berkenaan adalah lebih kepada misi untuk memecahkan mereka, yang akhirnya menguntungkan pihak yang membuat tohmahan terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya beri jaminan, tiada isu antara saya dan Ahmad Zahid Hamidi, tetapi (wujud) ‘nasi-nasi tambah’ di luar sana sebenarnya kerana apabila kita berpecah, yang untung mungkin mereka.

“Pepatah Melayu menyatakan, ‘antan sama antan berlaga, ayam di tepi kekenyangan.’ Kita berlaga, dia yang untung. Jadi, marilah kita bersatu, biarkan mereka pula yang rugi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran BN di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau dan Ahmad Zahid sudah lama saling kenal mengenali antara satu sama lain.

Justeru Ismail Sabri menegaskan, adalah penting bagi BN untuk terus bersolidariti, mengukuhkan perpaduan supaya tidak lemah diserang tohmahan, khususnya oleh kem pembangkang.

“Solidariti merupakan syarat dan asas kekuatan sesuatu pertubuhan termasuk ketika sebelum merdeka di mana UMNO, MCA dan MIC menunjukkan solidariti sehingga berjaya menuntut kemerdekaan,” katanya.

Melalui solidaritilah yang selama ini menjamin kekuatan BN untuk terus memerintah Malaysia.

Katanya, apabila timbul berbagai-bagai perkara sebelum ini, dengan persepsi berlaku perpecahan terutama di dalam UMNO, beliau dan Presiden UMNO berbincang bagi menghentikan tohmahan dan persepsi jahat ini.

“Kita jangan diadu domba oleh pembangkang yang mahu melihat kita berpecah kerana kalau kita berpecah kita pasti akan kecundang di dalam PRU akan datang. Sebab itulah kita mesti bersama-sama memastikan solidariti dalam UMNO supaya terus kukuh,” katanya.

Related posts

Leave a Comment