Selangor mohon tangguh Belanjawan

SHAH ALAM 17 Okt. – Walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan, kerajaan negeri akan menangguh pembentangan Belanjawan 2023 yang dijadual dibentang pada 28 Oktober ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan memohon perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menangguh pembentangan Belanjawan 2023 kepada 25 November.

“Kita akan memohon perkenan Tuanku untuk menangguhkan Belanjawan Selangor 2023 ke 25 November sebab kita tak nak terganggu proses (pembentangan),” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Latihan dan Kursus Selangor Volunteer (SERVE Rescue) di sini hari ini.

Beliau berkata, penangguhan itu bukan kerana masalah kempen tetapi pegawai-pegawai berkenaan terbabit sebagai pengurus pilihan raya, Pegawai Daerah akan terlibat di pusat mengundi yang mengganggu fungsi mereka ketika belanjawan.

“Urusan itu biasanya Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan maklumkan kepada Tuanku secara bertulis dan pada asasnya saya rasa tiada halangan kerana ia untuk kebaikan semua,” katanya

Related posts

Leave a Comment