Tok Batin, Penghulu Orang Asli terima RM1,000

TAPAH 17 Okt. – Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian sekali beri (one-off) sebanyak RM1,000 kepada Tok Batin atau Penghulu Orang Asli yang melibatkan peruntukan sebanyak RM624,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberian itu sebagai tanda menghargai jasa peranan dan kerja keras mereka dalam memastikan pentadbiran peringkat Kampung Orang Asli berjalan lancar.

“Menyedari kepentingan institusi ini, Kerajaan telah memperuntukkan elaun berjumlah RM6.739 juta setahun yang melibatkan seramai 624 orang Tok Batin/Penghulu di seluruh negara,” katanya.

Beliau mengumumkan demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Peserta Felcra Berhad & Pekebun Kecil RISDA di Arena Merdeka Tapah di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan pada pembangunan infrastruktur dalam kalangan Orang Asli malah turut memberi fokus kepada pembangunan ekonomi bagi masyarakat Orang Asli.

“Ini jelas dibuktikan menerusi Bajet 2023 apabila Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM2.7 juta untuk membangunkan ekonomi bagi Orang Asli,” katanya.

Beliau juga memberitahu, khusus untuk belia masyarakat Asli pula, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia akan membuka sebuah pusat latihan khusus bagi belia Orang Asli di Tapah.

“Ini sekali gus membuktikan Kerajaan tidak pernah meminggirkan sumbangan masyarakat Orang Asli yang merupakan sebahagian daripada Keluarga Malaysia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment