Lupus hutang lapuk projek Felcra

TAPAH 17 Okt. – Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan melupuskan kesemua hutang lapuk projek Felcra Berhad membabitkan kos RM233.8 juta sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) terus mentadbir negara.

Katanya, ia membabitkan 323 projek dengan keluasan kawasan seluas 22,173 hektar tanah yang telah dikenal pasti sebagai projek kurang berdaya maju sehingga Disember tahun lepas.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira ketidakmampuan peserta untuk melunaskan hutang lapuk lebih 30 tahun yang mengakibatkan hasil rendah dan projek kurang berdaya maju.

“Saya sudah dimaklumkan tentang masalah hutang Felcra yang belum selesai membabitkan 20,000 peserta yang tidak dapat dilupuskan sehingga Disember 2021.

“Saya difahamkan pengerusi FELCRA perkara ini sudah dibincangkan dalam Lembaga Pengarah Felcra dan sudah meluluskan untuk memohon kerajaan menghapus kira hutang ini. Pada dasarnya kerajaan bersetuju” katanya.

Beliau mengumumkan demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Peserta Felcra Berhad & Pekebun Kecil RISDA di Arena Merdeka Tapah di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid; Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dan Menteri Besar Perak,  Saarani Mohamad.

Ismail Sabri berkata, walaupun beliau sudah bersetuju, dari segi peraturan perkara itu perlu dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk kelulusan dan bergantung kepada rakyat menentukan kerajaan yang akan mentadbir selepas pilihan raya umum.

“Saya dah bincang dengan Menteri KPLB bawa dalam mesyuarat Kabinet, tetapi mesyuarat Kabinet tidak boleh diadakan sekarang ini kerajaan telah membubarkan Parlimen, Jadi bergantung kepada rakyat semua lah,” katanya.

Beliau turut mengumumkan pembayaran tambahan RM200 selama empat bulan untuk peserta RISDA yang terkesan ekoran musim hujan dan tengkujuh.

“Bagi membantu pekebun kecil yang terjejas akibat musim tengkujuh yang dijangka berlaku akhir tahun ini, kerajaan meluluskan sejumlah RM191 juta Bantuan Musim Tengkujuh membabitkan seramai 232,319 pekebun kecil RISDA dengan kadar RM600 yang akan diagihkan pada November dan Disember ini.

“Jadi, sebab itulah untuk tahun 2023, kita tambah elaun musim tengkujuh RM200 sebulan selama empat bulan dari RM600 menjadi RM800, sekurang-kurangnya membantu waktu musim tengkujuh,” katanya.

Related posts

Leave a Comment