MPT PN bincang isu logo

TASEK GELUGOR 17 Okt. – Satu mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Perikatan Nasional (PN) akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan penggunaan logo termasuk perkara berbangkit lain.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, berkata PN akan memuktamadkan penggunaan logo yang bakal digunakan sebelum proses penamaan calon berlangsung.

Beliau berkata, sebelum itu ada perbincangan dibuat namun ia masih belum muktamad kerana masing-masing mempunyai pandangan serta cadangan tersendiri.

Katanya , dalam PN selagi  belum ada keputusan dibuat di peringkat pusat, maka setiap parti bebas menyuarakan pandangan dan cadangan masing-masing.

“Bagi saya cadangan Pas (guna logo parti mereka) perlu dibincangkan dan pastinya ia akan dibincangkan di peringkat MPT PN. Sebelum ini ada perbincangan sikit tetapi belum muktamad, masing-masing mempunyai pandangan.

“Itu menunjukkan kita belum capai keputusan muktamad dan kita raikan pandangan yang mana dalam meraikan, sudah pasti setiap parti ada hujah masing-masing,” katanya ketika hadir pada Majlis Jelajah Prihatin Parlimen Tasek Gelugor, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, beliau percaya bahawa MPT PN akan membuat keputusan terbaik untuk memastikan gabungan itu menggunakan satu logo bagi menunjukkan kesatuan antara mereka, pada masa sama mahu memudahkan rakyat membuat pilihan.

“Keputusan (penggunaan logo) akan dimuktamadkan sebelum penamaan calon dan kita tunggu pengumuman. Kita harap apabila keputusan dibuat semua ikut dan akur dengan pimpinan tertinggi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment