DUN Perak bubar hari ini

TAPAH 17 Okt. – Selepas ‘tertangguh’ beberapa hari, Perak mengesahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, berkata pembubaran DUN itu setelah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Ini bermakna semua DUN di bawah Barisan Nasional (BN) iaitu Perlis, Pahang dan Perak dibubarkan sementara Melaka dan Johor yang kini dikuasai BN telah mengadakan PRN lebih awal.

Tiga negeri dikuasai Pas iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan serta tiga lagi Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan di bawah PH tidak membubarkan DUN bagi membolehkan tumpuan kepada menghadapi banjir.

Sementara itu Saarani dalam sidang media khas di Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang, berkata pembubaran DUN itu setelah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Katanya, ia selaras dengan Fasal 2, Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

“Pembubaran bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri dilaksanakan serentak dengan Pilihan Raya Umum di peringkat Persekutuan,” katanya.

Rabu lalu, Saarani dilapor berkata, Sultan Nazrin belum memberi perkenan untuk pembubaran DUN Perak ketika sesi sembah menghadap di Istana Kinta, Ipoh, selain menambah bahawa pengumuman keputusan permohonan itu akan dilakukan selepas baginda membuat pertimbangan sewajarnya.

Related posts

Leave a Comment