AMSTERDAM – Ganjaran sebanyak €2 juta ditawarkan bagi maklumat yang boleh membawa kepada penahanan Jos Leijdekkers, antara buruan paling dikehendaki di Eropah yang dikaitkan dengan sindiket penyeludupan kokain antarabangsa.
Leijdekkers, 35, yang dikenali dengan “Bolle Jos” atau “Jos Gemuk”, disifatkan sebagai antara pemain utama dalam rangkaian pengedaran kokain antarabangsa.
Menteri Kehakiman Belanda, David van Weel, berkata ganjaran dinaikkan sepuluh kali ganda susulan ancaman yang dibawa Leijdekkers terhadap keselamatan negara, kedaulatan undang-undang dan ketenteraman perundangan antarabangsa.
Pendakwa raya Belanda pula menegaskan bahawa penangkapan Leijdekkers merupakan keutamaan tertinggi pihak berkuasa, sambil memberi jaminan bahawa sebarang maklumat yang disalurkan akan dirahsiakan.
Leijdekkers turut tersenarai dalam senarai individu paling dikehendaki oleh Europol, agensi penguat kuasa Kesatuan Eropah (EU).
Pada Januari 2025, polis Belanda memaklumkan mereka percaya Leijdekkers sedang bersembunyi di Sierra Leone dan menggunakan identiti baharu dengan nama Omar Sherrif.
Beberapa gambar yang muncul sebelum ini dikatakan menunjukkan beliau berada bersama Presiden Sierra Leone, Julius Maada Bio, serta beberapa pegawai kanan negara itu.
Belanda telah berulang kali menuntut ekstradisi Leijdekkers, namun Sierra Leone dilaporkan enggan memberikan kerjasama.
