Khairuddin tiada dalam senarai calon

KUALA TERENGGANU 17 Okt. – UMNO Terengganu tidak pernah menamakan bekas pemimpin Pas Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Ahmad Said berkata, tiada sebarang rundingan dilakukan berhubung perkara tersebut.

Bagaimanapun Ahmad Said berkata, pihaknya tiada masalah jika Mohd Khairuddin ingin menyertai dan membantu UMNO, tetapi bukan sebagai calon.

“Kita ada calon kita. Kita tak pernah ada rundingan dengan siapa-siapa pun.

“Tetapi kalau dia nak menyertai dan bantu UMNO, tak ada masalah, cuma bukan sebagai calon. Kita tak pernah namakan dia sebagai calon. Tak ada,” kata Ahmad ketika hadir pada Majlis Makan Malam Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd di sini semalam.

UMNO Bahagian Kuala Nerus sebelum ini menafikan desas-desus bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi akan ditampilkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen itu pada PRU15  nanti.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Apli Mohd Yusoff berkata, ia cuma dakyah parti lawan yang cuba memecahbelahkan akar umbi BN di kawasan Parlimen berkenaan.

Pada Mac lalu, Mohd Khairuddin mengumumkan membuat permohonan untuk berhenti daripada menjadi ahli Pas berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan yang dibuat itu adalah selaras dengan perlembagaan parti iaitu keberhentian ahli dengan permintaan sendiri.

Related posts

Leave a Comment