Keliru jawapan, Speaker minta kemuka usul

KUALA LUMPUR 2 Nov.  – Yang Dipertua Dewan Rakyat,  Johari Abdul meminta Ahli Parlimen mengemukakan usul berhubung dakwaan percanggahan kenyataan mengenai projek pembangunan luar bandar yang dikatakan ‘dikorbankan’ bagi membiayai peruntukan projek lain.

Perkara itu dibangkitkan Chong Zhemin (PH-Kampar) ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Zhemin membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(12), dengan mendakwa berlaku percanggahan kenyataan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan Menteri Kewangan II,  Amir Hamzah Azizan, berhubung perkara itu.

Beliau turut meminta Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Zhemin berkata, ketika sesi penggulungan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada 26 Oktober lalu, beliau bertanya kepada Ahmad Zahid mengenai projek yang ‘dikorbankan’ sekiranya Notis Perubahan (NOC) digunakan bagi mendapatkan dana.

Katanya, berdasarkan penyata rasmi persidangan (Hansard) yang dibacanya, Ahmad Zahid ketika itu menjawab tiada sebarang projek dikorbankan.

Tidak ada satu projek pun dikorbankan, tiada, tiada,” katanya memetik jawapan menteri berkenaan.

Zhemin mendakwa jawapan itu bercanggah dengan kenyataan Amir Hamzah ketika sesi penggulungan Kementerian Kewangan, Khamis lalu.

“Menteri Kewangan menjelaskan tatacara pengurusan kewangan membolehkan pengagihan semula dibuat menerusi NOC bagi memenuhi keperluan projek, namun penambahan peruntukan bagi Program Jalan Luar Bandar (JALB) menyebabkan pengurangan peruntukan kepada program lain.

“Jelas daripada jawapan Menteri Kewangan bahawa memang ada projek yang dikorbankan,” katanya.

Susulan itu, Johari mencadangkan supaya usul dikemukakan bagi membolehkan perkara itu dibahaskan dan dibawa kepada perhatian pihak berkaitan, memandangkan Peraturan Mesyuarat tidak membenarkan beliau memanggil menteri untuk memberikan penjelasan seperti diminta.

Sementara itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) turut bangkit mengikut Peraturan Mesyuarat 36(6) dan 36(12), berkata percanggahan kenyataan berkenaan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak berhubung dakwaan projek pembangunan mereka dikorbankan.

“Saya sendiri keliru. Rakyat di luar sana lebih keliru. Adakah Yang Berhormat Bagan Datuk (Ahmad Zahid) cuba mensabotaj kerajaan Madani?” katanya.

Johari kemudian memberi saranan sama supaya usul dikemukakan bagi membolehkan ia dibahaskan dan dibawa ke pihak berkaitan.

“Remedinya (kaedah) ialah Yang Berhormat terpaksa masukkan usul dan kalau merasakan bahawa kenyataan Yang Berhormat boleh menjurus kepada (Ahli Parlimen) Bagan Datuk dan dihadapkan ke jawatankuasa, sila masukkan usul.

“Itu remedi yang kita ada. Jadi pertimbangkan sama ada Yang Berhormat ingin masukkan usul,” katanya.

Related posts

Leave a Comment