PN kesal pendirian kerajaan isu kalimah Allah

KUALA LUMPUR 17 Mei –  Perikatan Nasional (PN) kesal dengan keputusan kerajaan PH-BN menarik balik rayuan berhubung kes berkaitan kalimah Allah yang melibatkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam.

Pengerusi PN,  Muhyiddin Yassin berkata, sepatutnya kerajaan membiarkan kes ini diputuskan menurut proses undang-undang di mahkamah sehingga selesai sebelum kerajaan membuat apa-apa keputusan dasar mengenainya.

Beliau berkata, sekiranya keputusan mahkamah tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan, maka wajarlah kerajaan meminda undang-undang berkenaan untuk menjamin keharmonian hubungan antara masyarakat berbilang agama dan memelihara ketenteraman awam di negara ini dapat dicapai.

“Ketika saya menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), ada menteri daripada parti DAP yang meminta supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyelesaikan kes Jill Ireland di luar mahkamah.

“Saya tidak bersetuju dengan permintaan ini kerana apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di luar mahkamah itu ialah KDN menarik balik perintah rampasan cakera padat risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah.

Pendirian KDN pada masa itu ialah kes ini mesti diputuskan oleh mahkamah mengikut proses undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, antara hujah utama KDN pada masa itu ialah penyebaran risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dan ini berkemungkinan menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Katanya apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland pada tahun 2021, Kerajaan PN pada ketika itu berpendirian bahawa keputusan kes ini mesti dirayu ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Menurut beliau lagi adalah p menjadi kelaziman dalam mana-mana kes mahkamah, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah boleh merayu ke mahkamah yang lebih tinggi.

“Keputusan untuk merayu ke Mahkamah Rayuan juga adalah selaras dengan titah yang dizahirkan pada masa itu oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor,” katanya.

Muhyiddin mengingatkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya manakala Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.

“Maka titah Raja-Raja Melayu dalam hal ini hendaklah dijunjung oleh kerajaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment