BN tumpu sembilan kerusi Parlimen

KOTA BHARU 16 Okt. – Barisan Nasional (BN) Kelantan akan memberi tumpuan kepada sembilan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU15) walaupun semua 14 kerusi ditandingi, kata Pengerusi UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kawasan Parlimen berkenaan kerana ia strategi parti bagi mengelakkan musuh melakukan sesuatu.

“Kita akan letak semua calon di kerusi Parlimen dan DUN (tidak bubar) bagi menentang Pas dan parti lain. Kita akan masuk PRU15 secara solo tanpa kerjasama dengan Pas yang sudah tegaskan pendirian mereka untuk bersama Perikatan Nasional (PN).

“Maka dengan sendirinya kita anggap hubungan dengan Pas dan Muafakat Nasional (MN) sudah terputus untuk PRU15,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan, di sini malam tadi.

Mengenai peluang, BN yakin mampu merampas Kelantan daripada pemerintahan Pas selama 32 tahun, mengambil kira situasi semasa serta maklum balas daripada pemimpin setempat.

“Kita mempunyai keyakinan tinggi dan in shaa Allah kita dapat menambah lagi jumlah kerusi yang dimenangi pada PRU14. Maklum balas yang diterima pimpinan di peringkat akar umbi juga memaklumkan sokongan rakyat kini memihak kepada kita.

Justeru kita sangat mengharapkan sokongan rakyat. Apa salahnya kali ini pilih BN,” katanya.

Related posts

Leave a Comment