Simbol bulan elak kekeliruan pengundi

KOTA BHARU 15 Okt. – Keputusan Pas menggunakan simbol parti itu sendiri di tiga negeri di bawah pentadbirannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengundi terutama pengundi veteran.

Naib Presiden Pas Mohd Amar Nik Abdullah berkata penggunaan simbol bulan di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU15 dibuat mengikut permintaan ahli dan pimpinan negeri terlibat selain mudah diingati.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata penggunaan simbol Perikatan Nasional (PN) boleh mengelirukan kerana warnanya hampir sama dengan Barisan Nasional (BN).

“Logo PN baharu sangat dan mungkin dengan itu kadang-kadang boleh mengelirukan kerana warnanya hampir sama dengan biru BN.

“Hasil perbincangan pimpinan kita dengan pimpinan Bersatu, akhirnya dipersetujui supaya tiga negeri ini (calon Pas) menggunakan lambang bulan,” katanya kepada selepas merasmikan Karnival Panchor Sejahtera di Kompleks Tarbiah, Panchor, di sini hari ini.

Semalam, Presiden Pas Abdul Hadi Awang berkata parti itu memutuskan untuk menggunakan simbol parti itu sendiri di tiga negeri di bawah pentadbirannya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU15.

Mengenai permohonan Pas Selangor untuk turut menggunakan simbol parti itu pada PRU15, Mohd Amar berkata perkara tersebut perlu dibincangkan di peringkat Pas Pusat seterusnya mendapatkan persetujuan bersama melalui mesyuarat PN.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata Pas masih kekal dengan pendirian tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan, Terengganu dan Kedah supaya pilihan raya negeri diadakan serentak dengan peringkat Parlimen.

Related posts

Leave a Comment