BN perlu jadi dominan di Putrajaya

BERA 15 Okt. – Barisan Nasional (BN) perlu memastikan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) supaya menjadi dominan di Putrajaya, sekali gus membolehkan keputusan penting dapat dilaksanakan dengan mudah.

Perdana Menteri  Ismail Sabri Yaakob berkata,  kemenangan BN ditambah dengan kerjasama rakan-rakan parti dari Sabah dan Sarawak juga, dapat menghilangkan ‘rasa tidak stabil’ selain tidak lagi perlu mengharap ihsan pihak lain.

“Ketika ini walaupun saya Perdana Menteri, namun BN dalam kerajaan hanya menyumbang 42 kerusi, tak banyak… betul mereka (pembangkang) setuju dengan saya sebagai Perdana Menteri, namun kita rasa tak kuat.

“Tumbang atau tidak kerajaan, kalau ada lima yang tarik (sokongan) boleh tumbang. Sentiasa rasa tak stabil,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, kemenangan besar BN dapat membentuk sebuah negara stabil, yang tidak berlaku sejak akhir-akhir ini apabila semakin banyak kritikan terbuka terhadap beliau dibuat pemimpin parti, termasuk daripada mereka yang bergabung dalam kerajaan.

“Kalau makin lama, makin teruk lagi kritikan dan asakan dan sudah tentu saya tidak boleh mentadbir kerajaan dengan sempurna seperti di peringkat awal saya menerajui pentabiran negara,” katanya

Beliau berkata, pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu membawa isyarat kepada semua jentera gerak kerja BN, supaya bekerja keras untuk memenangkan BN kerana masa untuk pilihan raya ‘sudah sangat dekat’.

Gerak kerja juga perlu meliputi penguasaan media sosial, menerusi kreativiti untuk menyebarkan mesej dan naratif kerajaan serta menjawab fitnah daripada pembangkang, yang sering menggunakan platform tersebut.

“Penguasaan media sosial kita mesti lebih daripada mereka (pembangkang). Mereka buat ‘simple’ sahaja tetapi menarik seperti sebuah lagu yang baru-baru ini ‘trending’. Kita juga perlu kreatif dan buat satu lagu (bertajuk) cukup sekali… cukup sekali janji dia.

“Kita kena jawab tuduhan mereka di media sosial. Dulu (PRU-14) kita kalah kerana tak jawab fitnah mereka. Kalau dulu sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-11, mungkin orang tidak begitu lihat media sosial tetapi sekarang semua sudah pandai dan sudah ada pelbagai kumpulan WhatsApp,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera turut mengingatkan jentera parti di bahagian itu bahawa mereka mempunyai ‘tugas lebih berat’ berbanding pilihan raya umum lalu, memandangkan kerusi Parlimen itu menjadi tumpuan semua pihak kerana disandang Perdana Menteri.

Selain itu, katanya gerak kerja itu juga perlu memastikan kemenangan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di bawah Parlimen Bera, iaitu Guai dan Kemayan dikekalkan, di samping merampas kembali DUN Triang daripada DAP.

Related posts

Leave a Comment