Tidak bubar satu keputusan sukar

PETALING JAYA 15 Okt. – Keputusan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang ditadbir DAP adalah satu keputusan sukar yang terpaksa diambil, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Beliau yang mewakili DAP dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) berkata, meskipun terpaksa mengecewakan rakan-rakan di Pulau Pinang, namun keputusan kolektif itu bagi mengelakkan perpecahan dalam gabungan itu.

Jelasnya, walaupun pimpinan DAP peringkat negeri dan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta negeri itu dibenarkan membubarkan DUN secara berasingan, namun PH berpendapat tumpuan perlu diberikan terhadap persiapan menangani banjir.

“Sebagai Setiausaha Agung, saya kena buat keputusan sangat sukar, saya perlu kecewakan rakan saya sendiri di Pulau Pinang.

“Kalau kita buat keputusan supaya DUN Pulau Pinang dibubarkan tapi DUN Selangor dan Negeri Sembilan tidak dibubarkan, itu diterjemahkan satu keputusan memecahkan PH.

“Ada keputusan berlainan antara negeri PH, itu akan jadi senjata dan peluru kepada musuh kita mengambarkan seolah olah PH tidak bersatu tidak boleh buat keputusan kolektif,” katanya selepas menghadiri mesyuarat MPPH di ibu pejabat PKR di sini.

Dalam mesyuarat MPPH, ini kali kedua mesyuarat diadakan dan mendengar pandangan DAP.

Sebelum ini DAP telah dua kali mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa CEC dalam minggu lalu, bagi membincangkan permintaan kepimpinan DAP, Ketua Menteri Pulau Pinang serta wakil rakyat untuk mengkaji semula keputusan supaya DUN dibubar secara berasingan.

“Kita jalankan proses perbincangan dan konsultasi sangat rapi, itu sebab kita ambil masa beberapa hari,” jelasnya.

Mengulas lanjut Loke berkata, pembubaran DUN Pulau Pinang ditangguhkan sehingga tahun hadapan selepas Monsun Timur Laut yang dijangka membadai negara pada November depan reda.

“Akhirnya kita ambil keputusan kekal dengan pendirian kita bahawa kita akan menangguhkan (pembubaran). Bukan tak bubar tapi menangguhkan pembubaran sehingga tahun depan iaitu keadaan lebih kondusif untuk diadakan pilihan raya selepas monsun,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment