GUA MUSANG 15 Okt. – Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak jika dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau menyerahkan urusan agihan kerusi kepada parti, walaupun ramai pengundi tidak mahu beliau bersara selain terus mendapat sokongan daripada masyarakat Orang Asli.
“Saya serah kepada parti. Di Gua Musang ni setiap tahun tak nak bagi saya bersara terutama sekali Orang Asli, mereka buat keputusan ramai-ramai tak mahu calon lain.
“Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang (Ab Aziz Yusoff) kata selagi saya tak ‘gogek’ (selagi boleh bergerak) saya kena tawar diri saya untuk bekerja lagi,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Gua Musang, di sini, hari ini.
Tengku Razaleigh, 85 adalah wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini, iaitu selama 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri.
Ku Li, mempertahankan kerusi itu sebelum ini dikenali Ulu Kelantan yang kali pertama dimenanginya tanpa bertanding pada 1974.
Dalam PRU lalu, beliau mengekalkan penguasaan di kerusi Parlimen terbabit selepas menang dengan majoriti 3,913 undi dalam saingan tiga penjuru bersama calon Pas dan PKR.
Mengulas tindakan Pas menangguhkan kerjasama dengan UMNO pada PRU15, Tengku Razaleigh berkata ia akan menjadi kayu ukur penerimaan rakyat terhadap Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Beliau berkata tindakan itu tidak salah jika Pas mendapat kerjasama daripada Perikatan Nasional (PN) dan bergantung dengan Bersatu.
“Jadi kita test (uji) lah, rakyat di negeri-negeri ini puas hati (atau) tidak dengan pemerintahan dia (Pas).
“Tetapi kalaulah dia mendapat kekuatan daripada PN kerana bergabung dengan Bersatu, apa salahnya,” katanya.
Beliau juga berpendapat sebenarnya Pas mahu terus bekerjasama dengan UMNO demi menyelamatkan kedudukan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu.